Ulas Buku
Assalamualaikum wbrkth…..
Pertamanya, saya ingin memohon jutaan kemaafan kerana semenjak menjadi contributor dalam blog ini, saya hanya sempat menghantar satu artikel, itupun sudah lebih kurang
Biarpun ini hanya sekadar perkongsian biasa namun saya harapkan agar dapat memberi satu sumbangan terhadap semua pembaca. Semalam saya baru sahaja menyelesaikan satu pembacaan terhadap sebuah buku yang baru sahaja terbit….Tajuknya: “Aku Terima Nikahnya”. Membaca buku ini membawa saya melihat perkahwinan dari satu dimensi yang berbeza. Us Hasrizal yang menceritakan pengalaman hidupnya juga memberi panduan buat remaja yang ingin mempunyai komitmen serta buat yang sudah berkeluarga. Buku ini juga membuatkan saya berfikir, remaja hari ini sememangnya akan gembira dan akan bahagia bila disebut tentang cinta tapi sejauh manakah mereka melihat tanggungjawab dalam perhubungan yang mereka bina.
Dalam buku ini juga, saya memperolehi banyak manfaat yang berguna. Antaranya ialah tentang erti sebuah perkahwinan. Buku ini juga memuatkan kisah-kisah cerita yang begitu menyentuh kalbu umpamanya kisah seorang ayah yang mempunyai watak yang saya kira amat jarang dalam masyarakat moden zaman sekarang. Us Hasrizal juga ada mengingatkan remaja agar jangan membina hubungan sekiranya dalam masa setahun dua tidak mahu mengangkat hubungan itu ke era perkahwinan. Ini kerana akan memudahkan hubungan putus serta dapat mengelak daripada berlakunya maksiat yang lebih besar.
Saya kira terlalu banyak yang ingin saya kongsikan mengenai buku ini tetapi bagi saya biarlah pembaca membaca dan menilainya sendiri kerana saya tidak mahu bersikap bias dengan pandangan saya terhadap pembaca. Oleh itu, saya mengesyorkan agar pembaca membaca buku ini. Kepada yang sudah bersedia untuk berumahtangga dan bagi yang sudahpun berada di alam rumahtangga tidak salah untuk anda menyelak halaman buku yang banyak memberi input berguna ini.
Selepas ini pula, saya tertarik untuk membaca buku bertajuk "Satu Rasa Dua Hati" karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Saya sempat membelek serta membaca beberapa muka yang di situ terdapat satu dialog Us Pahrol dengan seorang atuk. Di dalamnya, Us Pahrol bertanya tentang usia untuk berkahwin pada atuk itu dan atuk itu menjawab usia bukanlah ukuran tetapi yang menjadi ukurannya ialah kematangan dan kesediaan.
Membaca buku sebegini menyebabkan kita insaf bahawa cinta remaja hanya dikaburi dengan nafsu sedangkan di sepanjang perkahwinan kita akan melihat cabaran satu persatu akan datang. Dan waktu itu siapa yang melihat perkahwinan untuk sesuatu yang bahagia sahaja akan mula terseksa dan mungkin ada yang akan lari dari tanggungjawab serta tidak mahu meneruskan komitmen yang sebelum ini hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana mereka memberi komitmen sebelum akad di lafazkan.
Di sini, saya ingin membawa kita semua berfikir..Untuk apakah sebuah perkahwinan itu? Mungkin jawapan akan berbeza antara kita tapi yang akan sama ialah kita mendirikan rumahtangga adalah untuk mencari keredhaan Allah. Untuk itu, saya tinggalkan pembaca dengan seribu satu persoalan, kalau kita mahu kebahagiaan adakah kita akan dapat capai tanpa kita perlu berkorban? Atau kita hanya mengharapkan kebahagiaan yang samar? Yang hanya kita impi dalam dunia fantasi dan bukannya realiti? Akhirnya, sekali lagi saya sarankan pembaca agar membaca buku ini walaupun anda mempunyai persepsi negatif tentang perkahwinan. Semoga dengan petunjuk Ilahi, kita akan dibimbing ke jalan yang diredhaiNYA..
Sekian....semoga dapat manfaat.