Mendepani cabaran Faham Insan 2
Diantara tahu, mahu, dan mampu,ia menentukan samada kita bertindak ataupun tidak.Faham insan, faham sebab ia bertindak dan memahami apa yang boleh menyebabkan seseorang bertindak adalah antara ilmu yang seharusnya tergengam erat di hati insan dakwah.
"Tahu" sahaja tidak akan mampu memujuk seseorang bertindak.Jika dengan hanya memberitahu dapat menyebabkan semua orang bertindak dan berubah,maka jalanan dakwah ini pastinya tidak sesukar ini.Pastinya tidak tercipta istilah istiqamah dan seumpamanya.
Manakala "mahu" sahaja tidak juga membolehkan seseorang bertindak.Tidak terlalu susah untuk membuatkan seseorang mahu kepada sesuatu tetapi untuk ia bertindak hanya diatas sebab kemahuan adalah terlalu susah!
Manakala "mampu" sahaja pula,bakal melahirkan tindakan yang tidak ikhlas,dan pastinya tidak menepati kehendak.Jikapun seseorang itu mampu, tampa "tahu", dia akan menyalahi dan tampa "mahu" dia akan meragui.
Kombinasi ketiga-tiga syarat inilah yang melahirkan satu tindakan yang jitu dan terurus.Tampa ketiga-tiganya pula,pastinya ia adalah tindakan yang pincang dan menyalahi fitrah manusia itu sendiri.
Bagaimana memberi tahu?Memberi mahu?Memberi mampu?
Kebanyakkan insan dakwah mampu untuk memberi tahu.Kemudian tidak terlalu ramai yang mampu memberi mahu dan terlalu sedikit pula yang mampu memberi mampu kepada objek dakwah.
Paling mengecewakan apabila saya melihat satu video budak perempuan (serasa saya dalam lingkungan form3-form5) di dalam youtube yang telah direnggut maruahnya.Saya tidak mahu mendedahkan video itu kerana bukan kerja saya memalukan insan lain,cukuplah untuk saya rumuskan bahawa,krisis moraliti yang sedang mereputkan iman-iman masyarakat bukan lagi satu ilusi palsu.Ianya sedang terjadi dan sedang merebak mungkin kepada adik-adik kita, saudara-mara kita, mungkin anak kita dan keturunan kita.
Jika mind set kita selama ini menyatakan bahawa insan yang bertudung mungkin tidak terjebak,rasanya sudah sampai masanya untuk cara berfikir sebegitu diperbaharui.Ianya satu hakikat yang harus ditelan dengan azam perubahan dan azam iltizam ke arah revolusi bertindak.Bukan lagi tulisan sebegini yang mungkin hanya tinggal tulisan!
Saya masih berfikir dan bermuhasabah,adakah saya tergolong di kalangan insan yang mampu untuk memberi mahu.Dalam tulisan sebelum ini,saya cuba menyelitkan elemen "touching" dalam bahasa dakwah semoga ia mampu menyentuh hati dengan harapan ia mampu memberi mahu kepada pembaca.Namun saya masih tercari-cari tapak mula untuk saya memberi mampu.Ia adalah perkara yang paling susah dalam dakwah ini!
Dalam kita membicarakan ketiga-tiga elemen ini,marilah kita kembali kepada madrasatul nabi saw.Marilah kita cari contoh yang benar dari fatanah kenabian yang boleh diambil sebagai pengajaran dan ilmu yang bermanfaat.Sesungguhnya Rasulullah itu sendiri adalah kewujudan yang mampu memberi mampu kepada para sahabat ridhuanullah.
Rasulullah berakhlak dengan aklak al-quran, rasulullah turun ke medan perang, rasulullah berdiri di mimbar kepimpinan negara dan rasulullah juga seorang suami yang terbaik.Rasulullah adalah seorang manusia biasa!Itulah satu motivasi yang cukup unik sehingga mampu memberi mampu kepada para sahabah ridhuanullah.
Malah di ceritakan ketika perang khandak,ketika menggali parit untuk mengekang kemaraan musyrikin,lalu para sahabat terjumpa sebuah batu besar yang menghalang sahabat daripada terus menggali.Apabila dimaklumkan kepada rasulullah,dalam keadaan tiga hari tampa makanan itu dan perut yang diikat dengan batu untuk mengalas lapar,rasulullah sendiri yang turun memecahkan batu yang besar itu.Dengan kudrat dan pertolongan Allah,batu besar itu dapat di hancurkan.Itulah Rasulullah, dakwahnya bukan hanya pada kata-kata,bukan hanya pada sifat tetapi merangkumi juga pada contoh perbuatan yang ditunjukkan kepada sahabah ridhuanullah.
Kita mungkin terlalu jauh untuk ke tangga itu,yang pastinya kita perlu berusaha dan berusaha.Bukan untuk nama dan kedudukan,bukan untuk dunia dan kenikmatan,tetapi untuk agama dan perjuangan!Ikhlaskan hati,berdoalah semoga semua kerja buat kita ini dikira sebagai ibadah kepada Allah..